Wednesday, July 8, 2020

FAKTOR MASALAH DISIPLIN

 1.1 Definisi Tingkah Laku  

        Menurut Lewis M. Beaker, 2011, tingkah laku adalah apa yang kamu lakukan, cara berinteraksi atau beraksi dan bertindak balas terhadap persekitaran. Pengertian tingkah laku sebenarnya mempunyai pengertian yang amat luas. Tingkah laku boleh disimpulkan sebagai perangai, gerak-geri kelakuan, segala perbuatan yang melibatkan kegiatan motor seperti berjalan, bergerak, berinteraksi dan memberi respon atau tindakbalas terhadap sesuatu sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Malahan tingkah laku juga sebenarnya mencakupi gambaran emosi dan mental seseorang.

1.2 Definisi Tingkah Laku Bermasalah
 
        Tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku yang tidak normal iaitu yang terkeluar dari nilai norma masyarakat, termasuk sekolah. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakkan orang dalam masyarakat. Tingkah laku bermasalah murid juga boleh didefinisikan sebagai sebarang aksi murid yang dianggap oleh guru sebagai mengganggu kerana ia menghalang kelancaran dan kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran. 

1.3 Faktor Yang Menyebabkan Masalah Tingkah Laku

        a. Faktor Keluarga
           Konflik dalam keluarga, pergaduhan ibu bapa, penceraian atau kehadiran adik baharu boleh mengganggu emosi kanak-kanak jika perubahan ini tidak diurus dengan baik. Terdapat sesetengah ibu bapa suka melepaskan geram kepada anak-anak atau meninggalkan anak dengan pengasuh serta mengamalkan pilih kasih. Segala kerenah ini menjadi ikutan anaknya. Masalah tersebut akan disalurkan melalui tingkah laku yang tertantu. Dalam hal ini, perasaan kerisauan, perasaan marah atau kecewa yang terpendam akan dibawa ke sekolah. Anak-anak sebegini akan mulai berani menentang ibu bapa dan keluarga sendiri untuk mengurang tekanan yang dirasai oleh mereka. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka. Sikap inilah yang akan memperkenalkan mereka kepada masyarakat nanti. Misalnya, perasaan marah terhadap ibu disalurkan kepada guru perempuan atau rakan sebaya di dalam bilik darjah. Mereka mencari jalan keluar secara drastik iaitu memberontak, melawan, kurang ajar, mengambil dadah, hidu gam dan menjadi samseng. Kerap kali berlaku masalah disiplin dan juga lemah dalam pelajaran dalam kalangan mereka menyebabkan mereka selalu dihukum dan gagal dalam peperiksaan yang seterusnya menyebabkan mereka tawar hati untuk terus belajar.

        b. Faktor Persekitaran Sekolah
            - Kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu imej sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan sesetengah murid beranggapan bahawa tindakan mereka yang melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah juga menyebabkan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin murid. Seterusnya, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan murid turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Hal ini demikian kerana program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Tuntasnya, peranan sekolah memang tidak boleh diabaikan.

        c. Pengaruh Media Massa 
            - Pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam merumitkan lagi permasalahan disiplin ini. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak dan budaya timur. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan masalah disiplin remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas. Perkara ini perlu diberi tumpuan kerana ia membawa kesan yang jelas iaitu menjejaskan kefahaman mereka terhadap sesuatu perkara. Contohnya, filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Kesannya remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan. Kesannya akan meresap secara halus ke dalam diri mereka tanpa disedari kerana remaja banyak belajar melalui pemerhatian. Dengan itu, tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan media massa memang mendorong masalah ini memuncak dengan drastik.

FAKTOR MASALAH DISIPLIN   1.1 Definisi Tingkah Laku             Menurut Lewis M. Beaker, 2011, tingkah laku adalah apa yang kamu lakukan, ca...